Hari ni saya sangat bosan.Pendek kata,beberapa minggu ni saya sangat bosan sebab ketiadaan bos di pejabat.Bos saya kena demam panas belum baik lagi.Jadi,saya yang sememangnya satu-satunya staf di pejabat ni amatlah bosan tanpa arahan dari bos.Hehe...Maka,saya menganggap tugas saya selama beberapa minggu ni sebagai 'jaga' di opis.Ok la tu,sekurang-kurangnya saya dibayar gaji untuk menjaga pejabat.Hehe...
Oh ya..Memandangkan bos tak ada di opis,saya pun berjalan lah..'berjalan' ke page2 Facebook dan blog.Sedang saya meneroka blog dan page2..Saya pun buka page Realiti Alam Perkahwinan,page ni memg menjadi kegemarann saya sebab admin2 mereka sangat sporting dan banyak info mereka kongsikan samada utk yang sudah berkahwin mahupun belum.Kira balance lah kan..hehe...
SUAMI DAMBAKAN YANG MALU DAN SILU
Sungguh pelik? Mengapa harus malu lagi pada suami, bukankah dia  telahpun menjadi milik kita? Pendek kata, apa sahaja yang tak dapat  dilakukan sebelum berkahwin kini sudah menjadi halal, kenapa mesti malu?  apalagi yang mesti dimalukan di hadapan suami sendiri?
Isteri harus pemalu pada suami, itulah petua kekal bahagia yang panjang!
Kekalkan  sifat malu yang ada dalam diri seorang isteri, itulah kehendak sebenar  seorang suami. Naluri suami menginginkan seorang isteri yang pemalu  dengannya, mengharapkan malu itu terus berpanjangan sehingga ke usia tua  perkahwinan. Orang dahulu, sampai beranak sepuluhpun masih lagi  mempunyai sifat malu mereka kepada suami.
Janganlah  menganggap status halal untuk menghilangkan segala sifat malu kepada  suami. Kadangkala suami akan bertambah meluat, jika isteri selalu  mengada-ngada dan terlalu manja. Ini salah satu angkara isteri yang  tertinggal sifat malunya.
MALU YANG MENDATANGKAN SAYANG
Cuba  anda bayangkan, apabila suami pulang daripada penat bekerja, si isteri  menyambut kepulangan suami dengan berpakaian t-shirt lusuh dan kain  batik yang sering digunakan untuk memasak, bau usah dikata.  Sambil-sambil terkulat senyum si isteri mencapai briefcase suami lalu beredar. Apa perasaan suami ketika itu?
Di  hujung minggu pula, isteri tidak langsung pandai untuk berfesyen, dan  masih lagi kekal dengan kain batiknya dan t-shirt lusuh, cara berjalan  juga sudah ‘bersepah’ tidak seperti ketika mula-mula diijab-kabulkan,  rambut mengerbang seperti Mak Lampir! Jangan terkejut jika suami sendiri  tiada selera untuk menatap wajah anda sedangkan wajah itu jugalah yang  pernah membuatkan si suami tidak tidur malam dan angau sewaktu bercintan  dahulu.
Kalau dahulu sebelum berkahwin, jika bakal suami  ingin bertandang ke rumah bakal mertua, si isteri akan mengenakan  pakaian yang paling cantik, muka dibedakkan dengan teliti sampai hilang  jerawat batu. Tutur katanya pun sopan sahaja, anak matanya walaupun rasa  teringin untuk menatap wajah bakal suami, tidak terus-menerus  dizahirkan, bahkan hanya mencuri pandang dari jauh.
Alangkah  bahagianya ketika itu, kerana setiap tingkah-laku dirapikan dengan  sebuah perasaan malu. Malu kalau-kalau bakal suami tahu akan keaiban dan  kelemahan diri, lalu setiap pergerakannya disantuni dengan sikap  berhati-hati. Pendek kata, malu ketika itu adalah malu yang sungguh perfect! (sempurna).
Ah!  Itu semua ceritera malu semasa bercinta dan sebelum berkahwin yang  sudahpun berlalu. Bila sudah memiliki, malu sudah tidak ada peranan lagi  dalam perhubungan suami isteri. Oleh kerana ramai yang beranggapan  beginilah, si suami tidak segan-segan untuk berpoligami, bukan kerana  lelaki yang bernafsu tinggi, tapi salah isteri yang kurang menjaga malu.
Alahai..
Tahukan  anda, malu seorang isteri itu ibarat perawan, iaitu memelihara kesucian  gadisnya agar tidak tercemar. Kesuciannya hanya diserahkan kepada insan  yang bernama suami. Jiwa dan raganya jua tidak mudah diberikan kepada  sesiapa. Itulah gambaran sifat malu seorang isteri.
Saya  percaya dan yakin, apabila seorang isteri senantiasa mengiringi setiap  perbuatannya dengan malu, dia pasti akan melakukan apa saja untuk  suaminya dengan usaha yang terbaik kerana sayang dan cinta akan  suaminya. Apabila mahu menyajikan makanan, maka si isteri akan  menyediakan masakan yang paling sedap, dan bimbang jika suami berkecil  hati kalau-kalau masakan yang dihidangkan tidak menepati selera suami.  Atau dengan kata lain, si isteri malu jika tak mampu menyediakan segala  yang terbaik untuk suaminya.
Inilah dia malu yang bakal membibitkan rasa kasih dan sayang antara pasangan.
Ketahuilah,  apabila isteri sering bersikap malu dengan suaminya, suami akan  sentiasa memerhatikan dan sering mendambakan. Bila berdekatan terasa  bahagia, bila berjauhan pula datang rasa rindu, terbayang-bayang  wajahnya selalu. Tidak mustahil jika isteri yang pemalu ini, suami  sentiasa mengharapkan kehadirannya pada setiap masa untuk  mendampinginya, kalau boleh biar ke mana-mana sekalipun suami mahu  bersamanya.
Lama-kelamaan, malu ini akhirnya mengeratkan sebuah hubungan. Semakin tinggi malunya, semakin erat kasih dan sayangnya. 'Semakin malu, semakin laku!'
Suami  kadangkala tertanya-tanya, mengapa tiada ada lagi suasana seperti  dahulu. Semasa mula diijab-kabulkan isteri selalu ‘menjual mahal’, tutur  kata tidak menyakitkan, pakainya selalu yang indah-indah untuk suami,  kini suasana itu seakan sudah hilang, isteri terlalu murah buatnya,  mudah saja mendedahkan segalanya. Adakah malu pada isteri sudah tiada?
Kalau semua perkara mudah didedah, tiada lagilah yang indah. Hambar.
Malu  akan menambahkan seri buat isteri, kerana segala-galanya akan dilakukan  dengan berhati-hati. Apa tidaknya, bermula dari sekecil-kecil perkara  sehinggalah di kamar tidur, si isteri sentiasa memelihara  tingkah-lakunya, tidak hairanlah jika isteri selalu menjual mahal, maka  suamilah orang pertama dan terakhir menjadi pemburu isteri yang setia.
Jika  berjauhan, terasa membuak-buak hati suami mahu pulang ke rumah, jika  berdekatan seakan tidak mahu berpisah. Ditatap wajah si isteri namun  tidak puas, kerana di sebalik wajah itu ada penyeri yang  mengindahkannya, iaitu sifat malu.
Anda mesti terasa  sejuk, apabila isteri yang mula-mula anda kenal dahulu tidak jauh  berbeza dengan dia yang ada sekarang. Sifat malu yang dipelihara dahulu  masih lagi dilihat sehingga kini. Kalau dahulu sering berwangian,  duduknya dijaga rapi, rambut pula disisir cantik dan segalanya seakan  dilihat masih terpelihara. Seperti baru semalam mengenali si isteri.  Cantik isteri dipelihara dan dihiasi dengan sikap malunya.
Hati suami mungkin berkata: ‘kalau beginilah isteri-ku, dialah bidadari dunia dan akhirat-ku!’ 
 RASUL ITU PEMALU ORANGNYA!  Rasulullah seorang yang pemalu. Dalam sebuah hadith ada menyebutkan: ‘Malu  Rasululullah saw itu melebihi seorang gadis. Jika ada sesuatu yang  kurang menyenangkan baginya, kami dapat melihat melalui raut wajah  baginda’ (Sahih Bukhori)
Kata Nabi saw lagi: ‘Apabila kamu tiada malu, lakukanlah segalanya’ (At-Tarmizi).
Lalu  tidak hairanlah, seandainya hilang sikap malu dalam diri seorang  muslim, maka akan terjadilah perilaku yang tidak boleh diterima akal  kerana dia bisa melakukan segalanya tanpa segan dan silu.
Bila  tiada rasa malu antara pasangan, samada isteri mahupun suami tanpa rasa  malu mendedahkan cerita-cerita yang seharusnya menjadi rahsia dalam  rumah tangga. Isteri mencanangkan keburukan suami kepada orang lain,  suami pula sering memperlekehkan kemampuan isteri dan kelemahannya.  Sedangkan jika malu yang menjadi pegangan antara pasangan, mereka akan  meletakkan rasa saling menghargai. Kelemahan dijadikan guru dan  pengalaman untuk diperbaiki.
Para isteri, ingat-ingatlah  saat indah sebelum berkahwin, anda menjadi buruan kerana ketika itu anda  seorang yang pemalu. Pakainya dijaga kerana malu, tutur-kata dipelihara  kerana malu, akhlaknya disantuni kerana malu, semuanya dijaga kerana  malu. Kerana itu anda menjadi buruan suami yang sentiasa diperhatikan.  Cantik itu bukan sahaja pada paras rupa tetapi pada keelokkan adab dan  rasa malu. Itu lebih mahal daripada segala-galanya.
Mahal harga seorang isteri pada sifat malunya, murah harga dirinya setelah hilang malunya.
PENUTUP
Selagi  malu yang menjadi pedoman antara pasangan, kebahagiaan akan terus  berpanjangan dalam rumah tangga. Isteri yang pemalu adalah idaman semua  lelaki. Tiada yang lebih berharga selain dikurniakan dengan pasangan  hidup iaitu seorang isteri yang pemalu. Kerana malu, seluruh kehidupan  suami isteri akan terjaga.
Malu diibaratkan seumpama  sebutir permata yang disimpan rapi, siapa saja yang mahu melihatnya  perlu membukanya dengan berhati-hati. Ia tidak mudah dibuka oleh  sebarangan orang. Kerana ia terlalu berharga maka ia disimpan dengan  jagaan yang baik.
Malu itu dipelihara dan akan memelihara tuan empunya diri.
Untuk melihat artikel dari RAP sila klik disini
